Wednesday, December 17, 2025
30.1 C
Kuching

Warisan Alam yang Menghidupkan Ekonomi Kitaran di Mukah

Bahagian Mukah yang terletak di pesisir tengah Sarawak terkenal sebagai kawasan utama penanaman rumbia dan telah lama menjadi sumber ekonomi utama masyarakat Melanau.

Daripada keseluruhan 51,518 hektar kawasan tanaman rumbia di Sarawak, sebanyak 45,392 hektar adalah terletak di Bahagian Mukah.

Kawasan tersebut dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu 40,642 hektar di bawah pengurusan pekebun kecil dan 4,750 hektar di bawah kategori estet serta mini estet.

Hasil daripada tanaman rumbia telah menjadikan Mukah antara kawasan yang mempunyai ekosistem ekonomi kukuh berasaskan sumber semula jadi.

Produk rumbia bukan sahaja memberi manfaat secara tempatan tetapi turut mempunyai nilai eksport yang tinggi.

Kini, hasil rumbia muncul sebagai eksport ketiga terbesar selepas kelapa sawit dan lada hitam, sekali gus mengangkat Sarawak sebagai pengeksport tepung sagu terbesar di dunia.

Melihat kepada potensi ini, industri rumbia berupaya untuk dikomersialkan secara lebih meluas di pasaran antarabangsa.

Usaha yang sistematik dan profesional bagi memperbagaikan produk berasaskan rumbia perlu diteruskan kerana industri ini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar dengan lebih pesat.

Daripada kekayaan sumber ini muncul satu inovasi yang telah mengubah landskap ekonomi tempatan, iaitu penternakan ulat mulong.

Dahulunya dianggap sebagai makanan tradisional eksotik masyarakat Melanau, kini ulat mulong menjadi lambang kepada pendekatan ekonomi moden berasaskan konsep kitaran.

Peralihan ini membuktikan bahawa sumber semula jadi yang diurus secara bijak mampu melahirkan peluang ekonomi baharu tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Inisiatif ini diterajui oleh Januarius bin Tomek, seorang anak tempatan yang mewarisi ilmu penternakan ulat mulong daripada keluarganya sejak beliau masih masih darjah enam lagi, katanya semasa ditemu bual Sarawak Impact/RAKAN Sarawak.

Ayahnya merupakan penternak tradisional yang menjalankan aktiviti ini secara kecil-kecilan, dan selepas sekian lama terhenti, Januarius menghidupkan semula usaha tersebut pada tahun 2016 dengan matlamat menjadikannya lebih sistematik, saintifik serta berdaya komersial.

Pada tahun 2024, beliau bekerjasama dengan bebarap rakan sekampung antaranya Petrus Emmanuel Tran bin Pulusagi dan Albert bin Ulom, untuk menubuhkan projek penternakan ulat mulong komersial pertama di Mukah.

Melalui penyelidikan berterusan, mereka berjaya memperkenalkan teknik penternakan baharu yang dinamakan kaedah besen.

Teknik ini menggunakan hampas rumbia sebagai medium utama untuk pembiakan dan makanan ulat mulong.

Teknik penternakan ulat mulong yang baharu/moden menggunakan besen

Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada habitat liar, malah memanfaatkan sisa hasil tanaman yang sebelum ini dibuang tanpa nilai ekonomi.

Dalam satu kitaran pengeluaran, dua batang rumbia mampu digunakan untuk menghasilkan sehingga 15-kilogram ulat mulong melalui 50-unit besen, berbanding hanya dua kilogram melalui kaedah tradisional.

Peningkatan hasil yang ketara ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan inovasi tersebut, tetapi juga memperlihatkan potensi besar penternakan ulat mulong sebagai industri baharu yang menjanjikan keuntungan dan kelestarian.

Kitaran ekonomi semula jadi yang terbentuk daripada aktiviti ini amat menarik kerana pokok rumbia ditebang secara terkawal dan hampasnya pula digunakan semula sebagai medium pembiakan.

Sementara itu, kumbang kelapa bertelur dan menghasilkan larva, manakala ulat yang dituai dipasarkan untuk kegunaan makanan dan pemprosesan.

Kumbang dewasa dikitar semula bagi memastikan kesinambungan proses, manakala setiap sisa diurus dengan teliti tanpa sebarang pembaziran sehingga semuanya memberi manfaat baharu kepada kitaran pengeluaran.

Kumbang kelapa memainkan peranan penting dalam keseluruhan proses penternakan ulat mulong

Inilah bentuk ekonomi kitaran sebenar yang menjadikan hubungan antara manusia dan alam begitu harmoni.

Kumbang kelapa memainkan peranan penting dalam keseluruhan proses ini, dengan teknik moden yang mengawal pembiakannya sepenuhnya di dalam besen melalui kaedah “menikahkan” kumbang dengan meletakkan empat jantan dan empat betina dalam setiap bekas pembiakan.

Dengan bertelur pada sabut kelapa bagi menghasilkan ulat mulong, kumbang menjadikan batang rumbia sebagai tempat perlindungan semula jadi bagi perkembangan larvanya.

Tempoh matang ulat mulong untuk dituai ialah antara 30 hingga 45 hari, namun masa paling sesuai bagi proses penuaian adalah pada hari ke-40 hingga ke-45, jelas Petrus Emmanuel Tran yang turut berkongsi pengalamannya sebagai penternak ulat mulong.

Medium penternakan ulat mulong menggunakan basin yang diisi hampas rumbia, air dan sabut kelapa

Tambah beliau, seekor kumbang mampu bertelur sehingga 250 biji dalam jangka hayat sekitar 105 hari, dan sepanjang tempoh itu kumbang yang dibeli daripada penduduk kampung dibiakkan semula secara terkawal bagi memastikan pengeluaran berterusan.

Secara dasarnya, kumbang kelapa ini tertarik kepada bau batang rumbia yang ditutup dengan dahan balau.

Walaupun dikenali sebagai kumbang kelapa, ia bukanlah spesies kumbang sagu, namun tetap sesuai untuk menghasilkan ulat mulong, jelas beliau.

Perbezaan antara jantan dan betina dapat dikenal pasti melalui bentuk belalai, di mana jantan memiliki belalai lebih besar dan tubuh lebih tegap, manakala betina lebih langsing dan mempunyai belalai lurus.

Proses penternakan ini memerlukan disiplin tinggi kerana besen tidak boleh diganggu selama tiga minggu pertama.

Ulat mulong yang telah dihasilkan alam tempoh antara 30 hingga 45 hari

Hal ini kerana, kumbang amat sensitif terhadap gangguan, manakala keseimbangan setiap pasangan kumbang perlu dijaga bagi memastikan kadar pembiakan yang optimum.

Hasilnya, setiap besen dapat menghasilkan sekitar 300 hingga 400-gram ulat, bersamaan 70 hingga 80 ekor yang boleh dituai dalam masa kurang daripada dua bulan.

Setiap peringkat dalam proses ini memberi manfaat langsung kepada komuniti apabila penduduk kampung yang menebang rumbia memperoleh pendapatan tambahan dengan menjual kumbang kepada penternak pada harga satu ringgit sepasang.

Menurut mereka, seorang penduduk kampung yang menjual kumbang kelapa kepada mereka mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 dalam tempoh tiga minggu.

Rakan beliau iaitu Albert pula mendapat keuntungan bersih sekitar RM4,000 sebulan hasil jualan 100kg ulat mulong.

Sementara itu, restoran dan rumah asap tempatan menikmati bekalan tetap dengan harga yang stabil, manakala pembeli dari seluruh Sarawak semakin menjadikan ulat mulong sebagai produk eksotik bernilai tinggi yang mendapat permintaan meluas di pasaran.

Pada peringkat awal, kumpulan ini menyasarkan pengeluaran sebanyak satu tan ulat mulong setiap bulan.

Namun, Petrus Emmanuel Tran mengatakan bahawa sasaran tersebut dijangka dapat dicapai dengan adanya lima pengusaha yang setiap seorang mengusahakan lima kelompok dengan seratus besen bagi setiap kelompok.

Justeru, dalam tempoh enam bulan pertama antara April hingga November 2024, mereka telah berjaya menuai sebanyak 800-kilogram ulat mulong.

Pada tahun ini, antara Mac hingga Oktober, hasil pengeluaran meningkat kepada 1.4 tan selaras dengan permintaan yang semakin tinggi sehingga menjadikan ulat mulong kini dipasarkan ke seluruh Sarawak.

Pelanggan datang dari Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu Jaya, dengan pembeli terbesar dari Sibu Jaya yang membeli pada harga RM60 sekilo dan menjual semula pada harga RM10 bagi setiap 15 ekor.

Dalam satu kilo, terdapat sekitar 170 hingga 200 ekor ulat, menjadikan harga yang ditawarkan oleh pengusaha di Mukah lebih kompetitif berbanding harga pasaran antara RM80 hingga RM100 sekilo.

Januarius menjelaskan bahawa pemasaran kini giat dijalankan melalui platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, dan pada September lalu, mereka turut melangkah ke Sabah untuk mencari ejen pengedaran baharu bagi memperluas pasaran.

Pada masa ini, sasaran awal mereka ialah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya lima rumah asap yang mampu mengambil sepuluh kilogram seminggu, iaitu sekitar 250-kilogram sebulan, dan setakat ini mereka telah berjaya memperoleh dua rumah asap di Miri.

Permintaan terhadap produk ini terus meningkat dari Kuching hingga ke Miri, malah turut menerima sambutan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Di Kapit pula, harga ulat mulong boleh mencecah RM180 sekilo, menjadikannya produk berharga tinggi yang semakin mendapat tempat dalam pasaran makanan eksotik.

Kejayaan mereka ini bagaimanapun tidak mudah diperoleh, kerana cabaran utama yang dihadapi termasuk kekurangan bekalan kumbang semasa musim hujan dan ketidaktentuan bekalan batang rumbia akibat kawalan penebangan oleh kilang pemprosesan sagu.

Untuk memastikan kesinambungan industri ini, Januarius dan rakan-rakannya telah menjalinkan kerjasama strategik dengan CRAUN Research Sdn Bhd melalui satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada Julai 2025.

Melalui kerjasama ini, kajian saintifik dijalankan bagi meneliti pembiakan terkawal kumbang kelapa supaya populasi tidak pupus dan penternakan dapat dijalankan sepanjang tahun.

Terbaharu, Januarius telah melancarkan produk berasaskan ulat mulong iaitu Sambal Si’et yang kini dalam proses penstrukturan dan penjenamaan.

Semasa festival makanan di Kuching baru-baru ini, mereka telah menerima tempahan sebanyak 70kg ulat mulong, satu petanda bahawa produk ini berpotensi besar untuk berkembang sebagai sumber ekonomi baharu bagi masyarakat Mukah.

Model penternakan ini bukan sahaja berorientasikan keuntungan tetapi membawa nilai sosial dan budaya yang mendalam.

Ia memperkukuh identiti masyarakat Melanau, memperkasa komuniti luar bandar, dan menjadi bukti bahawa pengetahuan tempatan yang digabungkan dengan inovasi moden mampu melahirkan penyelesaian lestari terhadap cabaran ekonomi masa kini.

Kisah kejayaan ini menggambarkan bagaimana warisan alam, apabila diurus dengan bijak, mampu menjadi sumber rezeki yang berterusan.

Mukah bukan sahaja melestarikan tradisi, tetapi juga membina masa depan baharu melalui ekonomi kitaran yang hidup dan berdenyut bersama alam.

Hot this week

Pertanian Priva

Inovasi pertanian kini semakin memudahkan pengendalian dan pengurusan tanaman...

Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030

Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 menyaksikan komitmen Sarawak untuk...

Belanjawan 2026

Belanjawan 2026 memperkenalkan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak masak...

Sistem Teknologi Solar NEM

Pemasangan sistem  teknologi solar di bumbung rumah atau bangunan...

Berani Berinovasi Rahsia Kejayaan

Inovasi dalam penghasilan produk makanan bukan sahaja menawarkan lebih pilihan unik kepada pembeli tetapi menyesuaikan produk berdasarkan citarasa setempat seperti penghasilan serbuk belacan pencecah buah dan produk kerepek Sukun. Inilah kekuatan yang terdapat pada produk Pelangi Dy Resources yang mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Topics

Pertanian Priva

Inovasi pertanian kini semakin memudahkan pengendalian dan pengurusan tanaman...

Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030

Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 menyaksikan komitmen Sarawak untuk...

Belanjawan 2026

Belanjawan 2026 memperkenalkan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak masak...

Sistem Teknologi Solar NEM

Pemasangan sistem  teknologi solar di bumbung rumah atau bangunan...

Berani Berinovasi Rahsia Kejayaan

Inovasi dalam penghasilan produk makanan bukan sahaja menawarkan lebih pilihan unik kepada pembeli tetapi menyesuaikan produk berdasarkan citarasa setempat seperti penghasilan serbuk belacan pencecah buah dan produk kerepek Sukun. Inilah kekuatan yang terdapat pada produk Pelangi Dy Resources yang mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Infrastruktur Pendidikan Memacu Kemahiran Masa Depan

CENTEXS Mukah Infrastruktur Pendidikan Memacu Kemahiran Masa Depan CENTEXS Mukah...

Turning Sarawak’s GaN Milestone Into A Thriving Industry

The launch of Sarawak’s first homegrown Gallium Nitride (GaN) semiconductor chip via the keteq.GaN and keteq.ai platforms represent more than a technical milestone - it signals a transformation in the state’s economic direction.

Pelajaran dan Latihan

Belanjawan 2026 memperuntukkan Anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM127.33 bilion...
spot_img

Related Articles

Popular Categories

spot_imgspot_img