Kerajaan Sarawak terus komited dalam usaha menyediakan infrastruktur di kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Dalam usaha merancakkan pembangunan pendigitalan, pembangunan di kawasan luar bandar tidak pernah diabaikan dan salah satu fokus kerajaan adalah untuk mengatasi masalah infrastruktur jalan.
Pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar ini sangat penting kerana ia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan taraf hidup penduduk termasuk meningkatkan pendapatan, taraf pekerjaan dan pendidikan mereka.
Misalnya, pembinaan jalan raya yang baik mampu meningkatkan sosio-ekonomi selain memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk berhubung dari satu daerah ke daerah yang lain dengan lebih mudah serta menjimatkan masa perjalanan mereka.



