Bermula dengan penghasilan serbuk belacan sebagai pencecah buah, 10 tahun yang lepas (2015), Puan Dayang Norelle dari Pelangi Dy Resources cuba berinovasi untuk mempelbagaikan produknya berdasarkan cita rasa ramai.

Kebiasaannya pencecah buah menggunakan serbuk asam, tetapi disebabkan dirinya penggemar belacan, resipi baru “dicipta” dan disesuaikan dengan memasukkan cili dan serbuk belacan yang telah dibakar.
Sehingga ke hari ini, produk serbuk belacan tersebut kekal menjadi produk paling disukai pembelinya dengan belacan “diimport” khas dari Pulau Pinang bagi memenuhi kriteria halalnya.

Produk Serbuk Belacan mempunyai 3 perisa iaitu Perisa Original (Cabik Geronong), Ikan Bilis dan Udang Kering yang kini boleh didapati hampir ke semua pasar raya di Sarawak.
Malah, kegunaan serbuk belacan tersebut telah dipelbagaikan bukan sekadar pencecah buah, tetapi boleh digunakan sebagai pes nasi goreng, pes sayur midin dan digunakan sebagai bahan untuk membuat cucur.
Salah satu produk yang menarik yang dihasilkan ialah Kerepek Sukun dengan Puan Norelle juga antara penggemar buah sukun.

Jelas Puan Norelle, buah sukun jarang ditemui dan bermusim. Kebiasaannya dia akan mengambil produk bahan mentah daripada orang kampung dan menganggap ini sebahagian daripada caranya membantu golongan petani.
Sehingga ke hari ini Kerepek Buah Sukun menjadi salah satu produk larisnya selain produk lain seperti Kerepek Keledek Ungu dan Kerepek Pisang.
Semua produk dihasilkan di kedainya di Jalan Sekama dan semuanya mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.
Menceritakan pengalamannya, Pelangi Dy Resources bermula dengan menjual produk kecantikan sehinggalah kepada produk makanan iaitu daripada menjual produk Jamu Sarawak yang diwarisi secara turun temurun di samping set bersalin di samping serbuk Belacan Pencecah Buah.
Kemudiannya, diperluaskan kepada produk seperti penghasilan popia dengan empat (4) perisa yang unik seperti Popia Cheese, Popia Telur Masin, Popia Original dan Popia Seaweed Cheese Pedas.

Beralih kepada penghasilan kerepek Sukun, Kerepek Keledek Ungu, Kerepek Ubi Belado, Kerepek Ubi Pedas Manis dan Kerepek Pisang Manis.
Puan Dayang Norelle yang juga salah seorang Usahawan Sarawak ini ditemu bual ini semasa tinjauan RAKAN Sarawak di Karnival Medan Niaga Satok 2025.



